MAKAM HANG TUAH
Makam yang dihias untuk mengenang Laksamana Melaka yang telah berjaya mempertahankan Melaka dari segala serangan Siam dan Acheh serta mengangkat kedaulatan Melaka sebagai sebuah negara yang disegani. Keberanian, ketangkasan dan kebijaksanaan Hang Tuah menjadikan beliau seorang legenda yang disanjungi dan dihormati dalam sejarah Melaka.
Keberanian Hang Tuah dilihat sewaktu zaman remajanya apabila beliau seorang diri berjaya menahan seorang lelaki yang sedang mengamuk di Kampung Duyong. Ketangkasannya telah menarik perhatian Sultan dan dikurniakan jawatan hulubalang, beliau adalah hulubalang yang termuda sekali. Kata-kata Hang Tuah yang menjadi sebutan hingga ke hari ini ialah "Takkan Melayu Hilang Di Dunia"

MAKAM HANG JEBAT
Juara dalam menegakkan keadilan yang mati dalam tragedi. Hang Jebat telah dibunuh oleh Hang Tuah dalam pertempuran selama tiga hari tiga malam. Beliau mengamuk selepas cedera ditikam oleh keris Hang Tuah, 'Taming Sari'. Hang Jebat dianggap menderhaka oleh Sultan dan Hang Tuah walaupun demi menuntut bela Hang Tuah yang telah dihukum bunuh untuk kesalahan yang tidak dilakukannya. Pertempuran antara Hang Tuah dan Hang Jebat telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dari segi moral dan peradaban masyarakat Melayu.
Persoalan yang terus diperbincangkan ialah penentangan Hang Jebat kepada kesultanan Melaka, satu tindakan yang melampaui zamannya dan kesetiaan Hang Tuah yang tidak pernah berbelah bagi ke atas sultannya. Kata-kata Hang Jebat yang menjadi sebutan hingga ke hari ini ialah "Raja Adil, Raja Disembah, Raja Zalim, Raja Disanggah".

HANG KASTURI
Hang Kasturi adalah seguru dengan Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu dalam mempelajari ilmu persilatan. Beliau menjadi hulubalang bersama-sama dengan Hang Tuan dan para sahabatnya. Selain Hang Jebat, Hang Kasturi dan sahabat yang lain terus setia kepada Sultan hingga ke akhir hayat.

No comments: